Alhamdulillah,  segala puja dan puji ke hadrat Alah ‘Azza Wa Jalla, kerana dengan  limpah dan kurnianya tertegaknya kembali pena yang telah lama kering,  yang sebelum ini menulis telahan hati yang masih lagi berkeluh-kesah dan  mengaduh tentang itu dan tentang ini.
Senantiasa,  kita masih lagi mempersoalkan tentang banyak perkara. Yang kadang  sehingga terlupa bahawa Dialah penggerak segala. Sambil jarang-jarang  sekali merenung diri, mencari erti manusia dan penghidupan. Di manakah  ‘aku’ dan Dia ketika itu?
“Apakah mereka tidak melihat kepada unta; bagaimana ia dijadikan? Dan kepada langit; bagaimana ia ditinggikan binaannya? Dan kepada gunung-ganang; bagaimana ia ditegakkan? Dan kepada bumi; bagaimana ia dihamparkan? Maka berilah peringatan! Sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa ke atas mereka. Akan tetapi, sesiapa yang berpaling serta kufur ingkar, maka Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang sebesar-besarnya. Sesungguhnya, kepada Kamilah kembalinya mereka. Kemudian, sesungguhnya ke atas Kami jualah yang menghitung amal mereka.” –Q.S. 88:17-26
Tiada  lain dan tiada bukan, sebaik bangkit dari tidur, kepadaNya jualah rasa  syukur. Meskipun dikumpulkan rasa syukur itu puluhan ribu tahun pun,  masih lagi tidak dapat mengatasi segala nikmat yang telah diberikanNya.  Pada mulanya, disedarkan daripada mati yang seketika. Kemudian,  diberikan nikmat nafas untuk bernyawa. Dikurniakan pula penglihatan  untuk mencicip keindahan alam ciptaanNya. Diberikan kudrat untuk  melangkah, menunaikan tugas dan tanggungjawab yang tersedia. Namun  dengan yang demikian itu, tidak sepicing pun rasa bersalah menyelinap  tubuh pada ketika kita marah, memberontak, mengata itu dan ini.  Sehinggalah, semua itu membawa kepada penyelewengan tanggungjawab asal  kehidupan sebagai seorang manusia, dan hamba kepadaNya.
Dengan  angkuh dan bongkak, direnggutnya harta dan nikmat kekayaan di dunia.  Sehingga tergadainya kebahagiaan milik keluarga yang hidupnya sekadar  mengais sehari-hari. Dengan sombong dan bangga, mengaku tiadalah itu  semua hanya demi kepentingan dan kemudahan rakyat. Sedangkan bawahannya,  terketar tubuh mempertahankan maruah di hadapan keluarganya. Dengan  lantang bersuara, bahawa mereka itu; itu dan mereka ini; ini. Tanpa  segan dan silu, melapah daging saudaranya sendiri yang telah mati, di  hadapan ramai. Mengaku bahawa dialah yang sebenar-benarnya berjuang demi  memartabatkan bangsa dan tanah air, tanpa melihat keadaan zahirnya yang  bangsa dan tanah air itu telah lama tergadai. Sambil mahkotanya  terpakai, tanpa disedarkan bahawa kesemua itu akan dipersoalkan  satu-persatu.
Benar,  bahawa bukanlah suatu yang mudah untuk merasakan diri ini adalah tanda  kasih dan sayang Allah s.w.t.. Tambahan pula, diri ini sentiasa tidak  layak untuk berteleku, apatah lagi untuk berdiri di hadapan Allah  s.w.t.. Sesungguhnya, tiadalah daya dan upaya bagi kami. Melainkan  dengan izinNya, tuhan Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Agung.
Jika  begitu, mengapa masih lagi berjalan mendabik dada? Mengapa masih lagi  bersuara tinggi menuduh yang tidak-tidak, itu dan ini? Mengapa masih  lagi mahu berjanji pencakar langit yang belum tentu mampu berdiri?  Mengapa masih lagi tidak mendengar jeritan hati kecil yang mendambakan  makanan rohani?
Sudahlah  bersujud di tikar sembahyang seminggu sekali. Tangan yang dihulur,  mahukan nama yang disanjung tinggi. Berbangga pula, kononnya rakyat yang  SATU ini hidup rukun dan damai. Sedangkan hati gundah gelisah tatkala  anak hanya berada di hadapan rumah. Bimbang, entahkan diculik, entahkan  diragut. Runsing meninggalkan rumah menuju ke kampung halaman, entahkan  selamat, entahkan tidak. Pening memikirkan perbelanjaan sehari-hari yang  semakin menjulang tinggi. Sedangkan, upah dan gaji hanya sekadar untuk  diri sendiri, usahkan nak menyara anak dan isteri.
Demikiankah  tafsirannya rukun dan damai? Demikiankah tafsirannya rumpun yang SATU  ini berbahagia di atas tampuk yang memimpin? Benarkah segala yang dijaja  untuk kepentingan rakyat, dan bukan untuk poket sendiri dan kroni?  Benarkah itu? Dan benarkah ini?
Ingatlah!  Bahawa nikmat dan seksaan Allah itu benar. Bahawa dosa dan pahala itu  benar. Bahawa Mungkar dan Nakir itu benar. Bahawa syurga dan neraka  Allah itu benar. Bahawa janji Allah itu benar. Bahawa Allah itu hanya  Esa, adalah benar. Bahawa Muhammad s.a.w. itu pesuruhnya, adalah benar.
Maka  Sedarlah, wahai diri ini bahawasanya engkau adalah hambaNya.  Dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dunia. Berlandaskan asas aqidah  yang telah ditetapkan di dalam kitab-kitabNya. Maka kesemua lakuan dan  tanggungjawab itu, dengan pasti akan ditanya, adakah semua itu  bermanfaat untuk dirinya.
Jika diizinkanNya, kalam ini akan tertulis lagi…
Oleh: Qalaamiy, Lisaaniy
Ulasan
Catat Ulasan