"Cinta Senafas Angsa" (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2012. 173 hal.) adalah hasil karya Tuah Sujana atau nama sebenarnya Nik Azri Nik Mohamed Arriff kelahiran Terengganu pada 8 November 1991. Beliau menulis cerpen, puisi, dan esei sastera yang pernah mendapat bimbingan daripada beberapa penulis besar seperti SM Zakir, Nisah Haron, dan Zaharah Nawawi. Dalam kumpulan cerpen "Cinta Senafas Angsa", Tuah mencoretkan latar belakang penulisannya.
"Saya bermula dengan sesuatu yang sederhana - mencintai huruf dan baris-baris kata - juga memadukan rasa gembira dan duka ke dalam helai-helai karya. Memang ini bukan satu rahsia, bahkan terlalu kecil adicitanya berbanding teman-teman lain. Landasannya tidak sukar untuk diterka kerana baik penulis mana pun, gelombang awalnya dimulakan dengan halaman-halaman buku yang bakal memaknakan perjalanan seni yang akan datang. Mungkin saya mengakui turut dipengaruhi oleh deretan buku, muzik, dan filem - yang pada detik tertentu - tersangat sukar untuk dinafikan pengaruhnya terhadap kerja-kerja penulisan. Juga saya percaya asasnya ada pada sudut manakah kita memandang kehidupan, sebagai tapak untuk berpijak. Melihat dunia dan permasalahannya sebagai "apa?", "bagaimana?", dan ' "mengapa?" seimbas lalu hanya persoalan yang berlegar singkat tanpa membawa erti apa-apa pun, namun bagi manusia yang resah, itulah lautan falsafah yang harus direnangi. Terakam dalam larik-larik perkataan - sama ada dipendam atau dipadam - tetap menjadi khazanah yang bernilai zaman-berzaman.
Seawal umur 9 tahun, cerpen "Di Perkampungan Jawapan" yang hijau dan mentah telah saya tukangi. Saya lazimnya sangat gelisah di sekolah, bosan untuk mengilangi hal-hal yang rutin, maka saya pun memilih untuk menukilkan ke dalam tulisan - walaupun ketika itu tanpa asas dan latihan. Cerpen ini juga memberi gambaran awal terhadap "world view" saya terhadap dunia kreatif. Kemudian, di awal usia remaja, saya menulis "Alkisah Toyol". Saya berkira-kira untuk menempatkan atau tidak sebuah karya yang kurang bernilai kepada audiens kerana itu merupakan refleksi saya terhadap sesuatu peristiwa. Setidak-tidaknya dalam cara berfikir, "Alkisah Toyol" merupakan cubaan saya untuk memasuki duna pelik-pelik yang ditempeli dengan aliran sastera eksistensialisme.
"Sumpah Bakawali" merupakan cerpen awal yang menunjukkan kecintaan saya terhadap anak bangsa dan tanah air. Sementara cerpen-cepen "Bianglala Gaza", "Cinta Senafas Angsa", "Kalbu Tengkujuh" adalah cerpen-cerpen yang menerapkan nilai keagamaan, falsafah, dan spiritual. Cerpen-cerpan lain "Rindu Salman", "Lensa Cordova", "Sebelum Rintik", "Teja, Di Sisi Prahara", "Jendera antara Purnama" merupakan cerpen yang terhasil daripada riuh-rendah perdebatan dan falsafah. Saya memang mempunyai cita-cita yang tinggi dalam dunia penulisan dan mahu menekuni karya-karya dengan adil dan saksama."
Membaca karya dibarengi dengan membaca pengakuan penulisnya akan menambah kefahaman kita tentang sastera yang sedang kita baca. Apatah lagi kalau membaca kritikan terhadap karya-karya yang baik. Pengalaman saya membaca novel "Hujan Pagi", A. Samad Said tidak akan lengkap dan memahami tanpa membaca kritikan daripada almarhum Abdullah Tahir. Dengan membaca kritikan, jelas perjalanan cerita semakin tergambar. Memang setiap pembaca tidak mungkin, mempunyai pengalaman dengan pembaca yang lain. Misalnya, Abdullah Tahir mempunyai hubungan dan latar zaman yang sama dengan Pak Samad, sesuai yang terangkum dalam dunia "abracadabra", tidak semua didapati oleh pembaca biasa.
Demikian, apabila saya menurunkan pengakuan Tuah Sujana dalam analisis ini supaya pembaca juga membaca keluhan penulisnya. Ia lebih membantu dan lebih gurih menghayati karya sasteranya. Selamat membaca.
* Dengan izin; daripada halaman Ulasan Buku Kreatif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
Ulasan
Catat Ulasan